Saturday, 27 July 2013

Karangan Syarahan

SOALAN : Kamu akan menyertai pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang diberi ialah "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid". Tulis syarahan itu selengkapnya.
........................................................................................................
           Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk, "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid".
        
Hadirin Sekalian,
           Sekolah yang bersih menjadi impian para guru dan murid-murid. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh semua pihak untuk memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan bersih.Antara aktiviti yang sering dijalankan ialah pertandingan kelas terbersih. Selain dapat mewujudkan suasana kelas yang ceria, usaha ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan murid-murid.
           Meskipun ada pekerja yang ditugaskan membersihkan kawasan sekolah murid-murid tidak wajar meletakkan tanggungjawab ini kepada mereka semata-mata. Sebagai murid, kita perlu sedar bahawa kawasan yang perlu dibersihkan oleh pekerja itu terlalu luas. Oleh itu, tidak salah jika kita turut sama membantu mereka.
           Segala kemudahan seperti penyapu dan tong sampah yang mencukupi telah disediakan di dalam setiap kelas. Sebagai murid yang bertanggungjawab, segala kotoran dan sampah-sampah perlu disapu dan dimasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan.
           Sekolah dan kelas yang bersih juga memberi impak kepada pembelajaran murid-murid. Sekiranya persekitaran kotor, keadaan ini akan menzahirkan pemandangan yang kurang enak. Hal ini menyebabkan kita gagal menumpukan perhatian kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tidakkah itu merugikan diri kita sendiri ?
       
Hadirin sekalian,
           Akhir sekali saya ingin menyeru kepada rakan-rakan, marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekolah. Sesungguhnay menjaga kebersihan merupakan ibadah yang mulia dan harus dimanfaatkan oleh setiap insan.
         Sekian, terima kasih.

Karangan Berita


CONTOH KARANGAN BERITA

SOALAN;

Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di Kuala Lumpur. Andaikan bahawa anda seorang pemberita,tuliskan berita tentang kejadian tersebut. Panjang karangan berita anda hendaklah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka.

1. PENDAHULUAN:
Sepasukan polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kereta -sekitar bandar raya.

2. ISI
a)       berjaya mengesan beberapa kereta curi-siasatan dibuat beberapa minggu lalu-beberapa orang ditahan.
b)              membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta - di Jalan Ipoh - lima  orang ditahan -salah seorang ialah
          pakar mekanik.
c)       polis menjumpai kepingan-kepingan pintu kereta -beberapa plat nombor palsu dijumpai di bengkel tersebut.

3.PENUTUP

          seorang lelaki dicari -dapat membantu polis-orang ramai diminta memberikan maklumat tentang lelaki
berkenaan.

CONTOH KARANGAN.

KUALA LUMPUR , 24 Mac - Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di sekitar bandar raya. Pihak polis berjaya mengesan beberapa kereta curi hasil daripada serbuan tersebut.

          Jurucakap polis menyatakan bahawa siasatan mengenai sindiket itu dibuat beberapa minggu yang lalu. Menurut jurucakap itu lagi,beberapa orang telah ditahan untuk siasatan lanjut.

          Hasil daripada maklumat orang ramai,pasukan polis telah membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Ipoh. Lima orang ditahan dalam serbuan itu. Seorang daripadanya dipercayai pakar mekanik

          Polis menjumpai kepingan-kepingan pintu yang dicuri .beberapa plat nombor kereta palsu dijumpai juga di bengkel tersebut.

          Sementara itu,gerakan sedang dijalankan oleh polis untuk mencari seorang lelaki yang bernama Mutusamy .Dia dapat membantu polis untuk memusnahkan sindiket tersebut. Orang ramai diminta tampil ke hadapan sekiranya mempunyai maklumat tentang lelaki berkenaan

Karangan Fakta-



PELANCONGAN DI MALAYSIA

Sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara. Hari ini, sektor pelancongan merupakan salah satu punca pendapatan negara dan penduduknya.


Destinasi pelancongan yang banyak merupakan salah satu faktor yang mendorong kedatangan pelancong ke Malaysia. Malaysia mempunyai pantai yang boleh dikunjungi oleh pelancong bagi merehatkan badan dan minda mereka. Mereka juga dapat menikmati keindahan alam semulajadi di pantai-pantai ini, selain mandi manda dan menjalankan aktiviti menyelam. Kerajaan sentiasa memberikan galakan bagi pengusaha pelancongan menjalankan aktiviti yang berkaitan supaya kebersihan dan keindahan pantai ini terus terpelihara dan seterusnya dapat menarik pelancong untuk terus mengunjungi pantai-pantai tersebut. Tegasnya, destinasi pelancongan amat berperanan bagi menarik pelancong datang ke negara kita.


Rakyat yang berbilang kaum di Malaysia menyebabkan wujudnya pelbagai jenis makanan tempatan. Situasi ini dapat menarik minat pelancong untuk datang ke Malaysia. Pelancong dapat menikmati pelbagai makanan yang menjadi hidangan masyarakat majmuk Malaysia. Lazimnya, mereka tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba semua jenis makanan yang dihidangkan oleh pihak pengurusan hotel. Kelazatan makanan tempatan seperti sate dan sebagainya menyebabkan pelancong begitu tertarik untuk datang ke Malaysia. Situasi ini seterusnya akan membantu industri makanan tempatan berkembang maju. Jelaslah di sini bahawa kepelbagaian makanan yang terdapat di negara ini menggamit kehadiran para pelancong.


Kebudayaan pelbagai kaum juga merupakan faktor penarik kedatangan pelancong. Masyarakat majmuk di negara ini telah membentuk pelbagai kebudayaan yang unik. Di samping keunikan alatan muzik tradisional, jenis-jenis persembahan kebudayaan yang pelbagai rupa serta corak merupakan daya penarik untuk pelancong datang ke Malaysia.Tarian tradisional seperti zapin, inang, ngajat sering menggamit tumpuan para pelancong. Mereka akan merakam gambar dan ada kalanya turut mengambil bahagian dalam persembahan yang diadakan. Ringkasnya, keadaan kebudayaan yang pelbagai telah menjadi daya penarik kepada pelancong.


Kita sebagai rakyat haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan bagai aur dengan tebing dalam usaha memaju dan memperkembangkan lagi sektor pelancongan negara kita.





1. Ayat berwarna MERAH dikenali sebagai AYAT TOPIK.


2. Ayat berwarna COKLAT dikenali sebagai AYAT HURAIAN.


3. Ayat berwarna BIRU dikenali sebagai AYAT CONTOH


4. Ayat berwarna HIJAU dikenali sebagai AYAT PENEGAS.

Karangan Jenis Laporan

Laporan Lawatan ke Melaka Bandar Raya Bersejarah

Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah menyertai satu lawatan sambil belajar ke Melaka Bandar Raya Bersejarah. Seramai 80 orang murid dan 8 orang guru turut serta dalam lawatan itu. Sebelum bertolak, kami diberi taklimat ringkas oleh Cikgu Maznah. Kami diingatkan agar menjaga disiplin dan tingkah laku serta mementingkan keselamatan.


Kami memulakan perjalanan pada pukul 8.30 pagi. Dalam perjalanan, kami begitu teruja melihat pembangunan negara. Bangunan-bangunan yang tinggi dantersergam indah di kiri kanan lebuh raya menyedarkan kami betapa pemimpin kita sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan rakyatnya.


Setibanya kami di Air Keroh, kami melawat ke Planetarium Negara. Sekali lagi kami begitu kagum melihat kecanggihan sains dan teknologi. Kami dibawa melawat oleh pegawai yang bertugas. Berbagai-bagai bahan dan infomarsi yang kami peroleh di tempat ini. Kami juga diberi peluang menonton tayangan interaktif tentang planet yang terdapat di ruang angkasa.


Selepas itu, kami pergi ke Zoo Melaka yang terletak tidak jauh dari situ. Setiap orang pengunjung dikenakan bayaran RM8 untuk kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa. Di sini, kami dapat melihat dan belajar tentang binatang-binatang terutama binatang yang hampir pupus seperti beruang kola, harimau benggala, seladang dan banyak lagi. Flora dan fauna di sini menyegarkan pemandangan. Kami juga diberi pelung menaiki train dan dibawa ke seluruh kawasan zoo ini. Sekali lagi kami insaf tatkala melihat keagungan dan kekayaan ciptaan Tuhan.


Selepas solat zuhur di Masjid al-Azim di Bukit Baru, kami dibawa ke Taman Rempah Ratus untuk menaiki bot Melaka Cruise. Kami begitu teruja kerana tidak pernah menaiki bot. Kami dibawa menyusuri sungai Melaka. Kami dapat melihat pembangunan negeri bersejarah ini. Ketika di Medan Samudera pula, kami berpeluang membeli cenderamata. Saya membeli beberapa helai baju-t, pemegang kunci dan kipas untuk ibu dan adik-adik saya.


Kami bertolak pulang ke Shah Alam pada pukul 6.30 petang. Sesungguhnya, banyak pengetahuan dan pengalaman yang kami timba ketika menyertai lawatan ini. Saya berharap agar dapat menyertai lawatan seperti ini pada masa yang akan datang.





Dilaporkan oleh, 22 April 2012


Nani Azizah


(NANI AZIZAH BT AHMAD)


Setiausaha,


Kelab Lawatan Sekolah,


Sekolah Kebangsaan Seksyen 17.

Karangan Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi


Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.  


No. 74, Taman Seri Merapoh, 
27210 Merapoh, 
Kuala Lipis, 
Pahang. Darul Makmur. 

26 Januari 2011 

                             Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja. 

Sahabatku, 

                             Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat adalah dengan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Saya belajar dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari. 

                            Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika saya tidak faham akan sesuatu pelajaran semasa belajar di kelas, saya akan segera bertanya guru supaya saya dapat mengikuti pelajaran itu sebaik mungkin. 

                            Ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya. 

                             Di samping itu, saya juga pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar untuk difahami dan bertukar-tukar nota. 

                            Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih. 

                            Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga. 

                                                                                                                                                                                   Sahabatmu, 


                                                                                                                                                                           ............................. 
                                                                                                                                                       (Khairi bin Zaideen ) 

Karangan Jenis Surat Kiriman Rasmi

Surat Kiriman Rasmi

Persatuan Bahasa Melayu,
SJK(T)Ladang Emerald,
Batu 8,42450 Klang.
  ____________________________________________________________________________

Pengurus Kilang Kit Kat Coklat,
Jalan Tun Razak,
52000 Kuala Lumpur                                                     11hb September 2012

Tuan,
Memohon Kebenaran untuk Melawat ke Kilang Kit Kat Coklat  

Merujuk perkara di atas,sukacitanya dimaklumkan bahawa Persatuan Bahasa Melayu SJK(T)Ladang Emerald ingin mengadakan lawatan sambil belajar ke kilang tuan.Untuk pengetahuan tuan,lawatan ini merupakan salah satu aktiviti tahunan yang bakal dijalankan oleh Persatuan Bahasa Melayu.Berikut adalah butiran lanjut mengenai lawatan ke    kilang tuan :  

Tarikh  : 29.09.2012
Masa   : 8.00 pagi - 11.00 pagi
Bilangan peserta : 80orang termasuk 8 orang guru pengiring

2.        Rombogan ini bertujuan untuk mengetahui cara-cara memproses coklat dengan lebih terperinci.Bukan itu sahaja,lawatan ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli persatuan dan barisan guru penasihat.Selain itu,peserta rombongan juga berupaya membeli coklat dengan potongan harga istimewa.
3.         Kami berharap agar pihak tuan dapat member kebenaran untuk melawat kilang coklat pada tarikh yang ditetapkan.kami juga besar hati sekiranya tuan dapat membalas surat ini sebelum 16.09.2012.Hal ini akan memudahkan kami untuk membuat pelbagai persiapan yang rapi bagi menjayakan lawatan tersebut.
4.         Kami juga berjanji akan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak tuan.Kami menyusun jari sepuluh dan mengucapkan jutuaan terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama pihak tuan.Semoga lawatan ini akan mendatangkan banyak manfaat kepada peserta rombongan ini.

Sekian terima kasih.

Yang benar,
Vishnu Prasath
...............................................
(Vishnu Prasath A/L S Chandran)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
SJK(T)Ladang Emerald.


Product : M.Fadhil Othman