Tuesday 30 July 2013

Contoh Karangan UPSR Karangan Perbincangan

Contoh Karangan UPSR Karangan Perbincangan

Tajuk : Pelajar Cemerlang Jadi Impian


 
Menjadi seorang yang cemerlang adalah impian setiap pelajar. Bincangkan cara-cara untuk menjadi pelajar yang cemerlang. 
 

PELAJAR CEMERLANG JADI IMPIAN  

                    Memang tidak dapat dinafikan setiap pelajar ingin menjadi yang cemerlang.Cita-cita dan harapan ini, akan menjadi nyata    jika seseorang pelajar itu melakukan perkara yang terbaik buat dirinya. Dalam mencapai impian ini, ada pelajar    yang berjaya dan ada juga yang kecundang.  

Menjadi pelajar cemelang memerlukanseseorang itu berdisiplin. Mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang    yang diceburi. Apa jua bidang, kurikulum    atau kokurikulum mesti    dilakukan dengan    bersungguh-sungguh dan berdisiplin. Jika tidak, harapan untuk menjadi pelajar cemerlang akan musnah.  

Selain itu, mereka mesti bijak membahagikan masa. Urusan pelajaran harus diutamakan. Urusan-urusan lain seperti membantu ibu bapa dan rakan-rakan yang lain tidak harus diketepikan. Sebagai pelajar yang cemerlang, kita wajib membantu ibu bapa apabila diperlukan. Jangan hampakan harapan mereka.  

Untuk mencapai kejayaan cemerlang, seseorang pelajar harus taat kepada perintah agamanya. Mereka harus mengamalkan suruhan agama dan meninggalkan apa yang dilarang. Tinggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh agama agar hidup lebih diberkati.  

Jika inginkan kejayaan yang cemerlang, seseorang pelajar juga perlu menghormati kedua ibu bapanya, guru-guru serta rakan-rakan. Sekalipun sibuk dengan pelajaran, ibu bapa harus diutamakan. Guru-guru harus dihormati dan hubungan dengan rakan juga    perlu dijaga dengan baik.  

Kejayaan tidak datang bergolek. Kejayaan hadir dengan komitmen yang tinggi untuk berjaya. Setiap individu boleh berjaya dengan usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh. Jadi terpulang kepada seseorang pelajar sama ada menjadi pelajar cemerlang atau tidak.

Karangan : Cara-Cara Berjaya Dalam Pelajaran

   Setiap murid ingin berjaya di dalam pelajaran. Murid yang berjaya di dalam akdemik akan mempunyai pekerjaan yang baik pada masa hadapan. Terdapat beberapa cara untuk berjaya dalam pelajaran.

     Jika ingin berjaya dalam pelajaran, murid mestilah mempunyai disiplin diri yang tinggi. Murid juga perlu ada jadual pembelajaran di rumah. Semasa di dalam kelas, beri sepenuh tumpuan kepadada pengajaran guru. Selain itu sikap suka bertanya juga penting dalam proses pembelajaran.

     Murid akan berjaya dalam pelajaran jika sentiasa mendapat sokongan daripada ibu bapa. Ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap anak-anak dirumah. Bantulah anak-anak memahami pelajarannya dan pastikan mereka menyiapkan kerja sekolah. Selain itu ibu bapa juga digalakkan untuk memberi hadiah dan kata-kata perangsang pada setiap pencapaian anak-anak dalam pelajaran.

     Murid yang berjaya juga selalu mempunyai kawan yang baik. Hal ini kerana pengaruh rakan sebaya sangat besar kepada mereka. Pilihlah kawan yang inginkan kecemerlangan, bukannya kawan yang yang hanya inginkan keseronokan.

     Murid akan berjaya dalam pelajaran jika mempunyai cita-cita yang jelas. Cita-cita yang dipilih akan menjadi satu cabaran kepada mereka untuk mencapainya. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita tersebut. Selain itu, murid juga boleh menjadikan seseorang yang telah berjaya sebagai idola mereka.

     Sesungguhnya, terdapat beberapa cara untuk berjaya dalam pelajaran. Namun begitu, usaha dan kesungguhan perlu ada dalam diri murid jika mahu berjaya. Jangan mudah putus asa jika gagal, sebaliknya terus berusaha dengan gigih.

Faedah Menabung

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada kita.

     Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang diberi ibubapa dapat disimpan ke dalam tabung.

     Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli barang-barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.

     Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini juga boleh digunakan jika  ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru kita tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. 

     Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang lain.

Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, 'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Keburukan Makanan Ringan Kepada Kanak-Kanak

         Makanan ringan sangat mudah didapati di kedai runcit. Makanan ringan seperti kentang goreng, keropok, dan biskut bersalut coklat sangat digemari oleh kanak-kanak. Terdapat banyak keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak.

          Makanan ringan tidak baik untuk kesihatan. Makanan ini banyak mengandungi bahan pengawet, pewarna, dan perasa tiruan. Bahan-bahan ini tidak mempunyai zat untuk membantu pembesaran kanak-kanak. Kanak-kanak tidak mengetahuinya kerana tidak dinyatakan pada label pembungkus makanan tersebut.
         
             Makanan ringan juga boleh merosakkan gigi kanak-kanak. Pewarna makanan ringan ini melekat pada gigi dan lidah kanak-kanak. Lebihan gula dalam makanan ini juga berbahaya kepada gigi. Kelalaian memberus gigi memburukkan lagi masalah ini kepada kanak-kanak.

          Kanak-kanak hari ini lebih terdedeh kepada pelbagai jenis penyakit yang dihadapi oleh orang dewasa. Kanak-kanak mudah diserang penyakit darah tinggi dan kencing manis.Ada juga yang menghadapi masalah obesiti atau kegemukan. Hal ini kerana,pengambilan makana ringan yang berlebihan tanpa mengira masa dan tempat. 

          Makanan ringan berjaya mempengaruhi berjimat cermat kanak-kanak. Meraka sering menghabiskan duit saku untuk membeli makanan ringan. Hal ini kerana, mereka terpengaruh dengan iklan makanan ringan di televisyen. Baki duit saku sekolah yang sepatutnha disimpan, digunakan untuk membeli makanan ringan.

          Sesungguhnya, makanan ringan ringan banyak keburukannya. Ibu bapa perlu memantau tabiat makan anak-anak agar meraka tidak ketagihan makanan ringan. Sebaik-baiknya, galakkan anak-anak memakan buah-buahan daripada makanan ringan.

Peristiwa yang Tidak Dapat Dilupakan!

    Hari ini sekali lagi aku berdiri di hadapnn kelas . Aku masih lagi gagal menghafal sifir tujuh dan sifir lapan sepertimana rakan-rakanku yang lain. Cikgu Rahman memandangku dengan dengan muka yang merah padam tanda marah.
          Tiba-tiba Cikgu Rahman menyuruh aku menadah tangan. Cikgu Rahman merotan tapak tanganku sebanyak dua kali. Merah mukaku menahan kesakitan. Bertambah sedih hatiku apabila ada beberapa orang rakan kelasku bertepuk tangan. Mereka mengejek aku.
          Sebelum aku pulang ke tempat dudukku, sekali lagi aku diingatkan supaya menghafal kedua-dua sifir tersebut. Jika aku masih gagal menghafalnya, aku akan dirotan lagi. Pada hari itu, sebaik sahaja pulang dari dari sekolan aku terus masuk ke bilikku sambil menangis. Ibu yang melihat aku  menangis terus mendekati dan bertanya  mengapa aku menangis.
          Aku menceritakan kepada ibu tentang peristiwa yang berlaku di sekolah tadi. Aku menunjukkan kesan tapak tanganku yang masih berbekas merah akibat dirotan. Ibu tidak menyalahkan Cikgu Rahman sebaliknya menyuruh aku mengubah sikapku dan berusaha menghafal sifir tersebut. Pada petang itu, ibu membantu aku menghafal kedua-dua sifir tersebut.
          Aku menghafal dengan bersungguh sungguh. Akhirnya aku berjaya. Dua hari kemudian, sekali lagi aku dipanggil oleh Cikgu Rahman ke hadapan kelas untuk menghafal sifir tujuh dan lapan. Aku telah berjaya menghafal dengan lancar. Cikgu Rahman memuji dan menghadiahkan aku RM5.00.
          Hari itu adalah yang paling menggembirakan aku. Walaupun peristiwa itu telah lama berlaku, namun masih segar dalam ingatanku sehingga ke hari ini. Dengan menghafal sifir tersebut, pencapain aku dalam mata pelajaran Matematik semakin baik dan sentiasa dipuji oleh Cikgu Rahman.

Kepentingan Memelihara Alam Sekitar

Alam sekitar adalah alam di sekeliling kita seperti sungai,tumbuh-tumbuhan,dan bukit-bukau.Kita perlu memelihara keseimbangan alam sekitar.Alam sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih baik.

    Alam sekitar adalah anugerah Tuhan kepada kita.Alam sekitar yang terpelihara akan dapat mendamaikan jiwa kita.Persekitaran bersih dan indah sesuai dijadikan tempat tinggal.Selain itu,alam sekitar yang tidak  tercemar akan dapat menarik kedatangan ramai pelancong.

     Tumbuh-tumbuhan perlu dipelihara kerana ia menjadi unsur penting dalam keseimbangan alam.Tumbuh-tumbuhan mengeluar kan gas oksigen.Gas oksigen ini diperlukan oleh manusia untuk pernafasan.Haiwan juga memerlukan tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan suber makanan.

    Selain itu,bukit-bukau dan gunung-ganang juga perlu dipelihara.Hutan tebal yang menghijau dijadikan sebagai kawasan tadahan hujan.Kawasan hutan menjadi habitat pelbagai jenis haiwan seperti harimau,singa dan gajah.Aktiviti pembalakan dan pertanian perlu dikawalkan agar tidak menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

    Sungai dan lautan juga adalah sebahagian daripada alam sekitar yang perlu dipelihara.Sungai yang bersih merupakan sumber air kepada kita.Lautan yang terbertang luas menjadi tempat nelayan menangkap pelbagai jenis ikan.Kita perlu memelihara sungai dan lautan agar tidak tercemar supaya pelbagai jenis ikan dapat terus membiak.

    Sesungguhnya,kita perlu memelihara alam sekitar daripada pencemaran.Alam sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih baik.Alam sekitar yang terpelihara merupakan hadiah yang tidak ternilai kepada generasi akan datang.


Sumber : Jom Tulis Karangan UPSR

Saturday 27 July 2013

Karangan Jenis Autobiografi

Tulis sebuah karangan autoboigrafi yang bertajuk "Saya Sebuah Kereta".




Contoh jawapan



                               
Saya sebuah kereta Proton Wira Aeroback. Saya berwarna biru metalik. Saya dilahirkan di sebuah kilang di Shah Alam pada tahun 2010.
                             
                     Saya dimiliki oleh seorang pemuda. Beliau membeli saya dengan harga RM45,000. Tuan saya penyayang. Dia menjaga saya dengan baik.

                     Pada suatu malam,tuan saya menghadiri satu majlis perkahwinan. Ramai tetamu yang menghadiri majlis itu. Saya ditinggalkan di luar pagar. Hilai ketawa tetamu memecah kesunyian malam.

                    Setelah majlis itu bersurai,tuan saya membawa saya pulang dalam keadaan letih dan mengantuk. Beliau tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika memandu. Saya dipandunya dengan laju.
                    Tiba-tiba seorang pegawai polis menahan saya. Tuan saya pun menekan brek secara mendadak. Akibatnya, saya terhumban ke dalam sebuah lurah. Minyak petrol yang tersimpan di dalam perut saya bocor dan mengalir keluar.

                    Sedetik kemudian, saya pun meletup bersama-sama pemilik yang cuai. Tamatlah riwayat saya.

Karangan Syarahan

SOALAN : Kamu akan menyertai pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang diberi ialah "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid". Tulis syarahan itu selengkapnya.
........................................................................................................
           Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk, "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid".
        
Hadirin Sekalian,
           Sekolah yang bersih menjadi impian para guru dan murid-murid. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh semua pihak untuk memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan bersih.Antara aktiviti yang sering dijalankan ialah pertandingan kelas terbersih. Selain dapat mewujudkan suasana kelas yang ceria, usaha ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan murid-murid.
           Meskipun ada pekerja yang ditugaskan membersihkan kawasan sekolah murid-murid tidak wajar meletakkan tanggungjawab ini kepada mereka semata-mata. Sebagai murid, kita perlu sedar bahawa kawasan yang perlu dibersihkan oleh pekerja itu terlalu luas. Oleh itu, tidak salah jika kita turut sama membantu mereka.
           Segala kemudahan seperti penyapu dan tong sampah yang mencukupi telah disediakan di dalam setiap kelas. Sebagai murid yang bertanggungjawab, segala kotoran dan sampah-sampah perlu disapu dan dimasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan.
           Sekolah dan kelas yang bersih juga memberi impak kepada pembelajaran murid-murid. Sekiranya persekitaran kotor, keadaan ini akan menzahirkan pemandangan yang kurang enak. Hal ini menyebabkan kita gagal menumpukan perhatian kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tidakkah itu merugikan diri kita sendiri ?
       
Hadirin sekalian,
           Akhir sekali saya ingin menyeru kepada rakan-rakan, marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekolah. Sesungguhnay menjaga kebersihan merupakan ibadah yang mulia dan harus dimanfaatkan oleh setiap insan.
         Sekian, terima kasih.

Karangan Berita


CONTOH KARANGAN BERITA

SOALAN;

Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di Kuala Lumpur. Andaikan bahawa anda seorang pemberita,tuliskan berita tentang kejadian tersebut. Panjang karangan berita anda hendaklah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka.

1. PENDAHULUAN:
Sepasukan polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kereta -sekitar bandar raya.

2. ISI
a)       berjaya mengesan beberapa kereta curi-siasatan dibuat beberapa minggu lalu-beberapa orang ditahan.
b)              membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta - di Jalan Ipoh - lima  orang ditahan -salah seorang ialah
          pakar mekanik.
c)       polis menjumpai kepingan-kepingan pintu kereta -beberapa plat nombor palsu dijumpai di bengkel tersebut.

3.PENUTUP

          seorang lelaki dicari -dapat membantu polis-orang ramai diminta memberikan maklumat tentang lelaki
berkenaan.

CONTOH KARANGAN.

KUALA LUMPUR , 24 Mac - Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di sekitar bandar raya. Pihak polis berjaya mengesan beberapa kereta curi hasil daripada serbuan tersebut.

          Jurucakap polis menyatakan bahawa siasatan mengenai sindiket itu dibuat beberapa minggu yang lalu. Menurut jurucakap itu lagi,beberapa orang telah ditahan untuk siasatan lanjut.

          Hasil daripada maklumat orang ramai,pasukan polis telah membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Ipoh. Lima orang ditahan dalam serbuan itu. Seorang daripadanya dipercayai pakar mekanik

          Polis menjumpai kepingan-kepingan pintu yang dicuri .beberapa plat nombor kereta palsu dijumpai juga di bengkel tersebut.

          Sementara itu,gerakan sedang dijalankan oleh polis untuk mencari seorang lelaki yang bernama Mutusamy .Dia dapat membantu polis untuk memusnahkan sindiket tersebut. Orang ramai diminta tampil ke hadapan sekiranya mempunyai maklumat tentang lelaki berkenaan

Karangan Fakta-



PELANCONGAN DI MALAYSIA

Sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara. Hari ini, sektor pelancongan merupakan salah satu punca pendapatan negara dan penduduknya.


Destinasi pelancongan yang banyak merupakan salah satu faktor yang mendorong kedatangan pelancong ke Malaysia. Malaysia mempunyai pantai yang boleh dikunjungi oleh pelancong bagi merehatkan badan dan minda mereka. Mereka juga dapat menikmati keindahan alam semulajadi di pantai-pantai ini, selain mandi manda dan menjalankan aktiviti menyelam. Kerajaan sentiasa memberikan galakan bagi pengusaha pelancongan menjalankan aktiviti yang berkaitan supaya kebersihan dan keindahan pantai ini terus terpelihara dan seterusnya dapat menarik pelancong untuk terus mengunjungi pantai-pantai tersebut. Tegasnya, destinasi pelancongan amat berperanan bagi menarik pelancong datang ke negara kita.


Rakyat yang berbilang kaum di Malaysia menyebabkan wujudnya pelbagai jenis makanan tempatan. Situasi ini dapat menarik minat pelancong untuk datang ke Malaysia. Pelancong dapat menikmati pelbagai makanan yang menjadi hidangan masyarakat majmuk Malaysia. Lazimnya, mereka tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba semua jenis makanan yang dihidangkan oleh pihak pengurusan hotel. Kelazatan makanan tempatan seperti sate dan sebagainya menyebabkan pelancong begitu tertarik untuk datang ke Malaysia. Situasi ini seterusnya akan membantu industri makanan tempatan berkembang maju. Jelaslah di sini bahawa kepelbagaian makanan yang terdapat di negara ini menggamit kehadiran para pelancong.


Kebudayaan pelbagai kaum juga merupakan faktor penarik kedatangan pelancong. Masyarakat majmuk di negara ini telah membentuk pelbagai kebudayaan yang unik. Di samping keunikan alatan muzik tradisional, jenis-jenis persembahan kebudayaan yang pelbagai rupa serta corak merupakan daya penarik untuk pelancong datang ke Malaysia.Tarian tradisional seperti zapin, inang, ngajat sering menggamit tumpuan para pelancong. Mereka akan merakam gambar dan ada kalanya turut mengambil bahagian dalam persembahan yang diadakan. Ringkasnya, keadaan kebudayaan yang pelbagai telah menjadi daya penarik kepada pelancong.


Kita sebagai rakyat haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan bagai aur dengan tebing dalam usaha memaju dan memperkembangkan lagi sektor pelancongan negara kita.





1. Ayat berwarna MERAH dikenali sebagai AYAT TOPIK.


2. Ayat berwarna COKLAT dikenali sebagai AYAT HURAIAN.


3. Ayat berwarna BIRU dikenali sebagai AYAT CONTOH


4. Ayat berwarna HIJAU dikenali sebagai AYAT PENEGAS.

Karangan Jenis Laporan

Laporan Lawatan ke Melaka Bandar Raya Bersejarah

Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah menyertai satu lawatan sambil belajar ke Melaka Bandar Raya Bersejarah. Seramai 80 orang murid dan 8 orang guru turut serta dalam lawatan itu. Sebelum bertolak, kami diberi taklimat ringkas oleh Cikgu Maznah. Kami diingatkan agar menjaga disiplin dan tingkah laku serta mementingkan keselamatan.


Kami memulakan perjalanan pada pukul 8.30 pagi. Dalam perjalanan, kami begitu teruja melihat pembangunan negara. Bangunan-bangunan yang tinggi dantersergam indah di kiri kanan lebuh raya menyedarkan kami betapa pemimpin kita sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan rakyatnya.


Setibanya kami di Air Keroh, kami melawat ke Planetarium Negara. Sekali lagi kami begitu kagum melihat kecanggihan sains dan teknologi. Kami dibawa melawat oleh pegawai yang bertugas. Berbagai-bagai bahan dan infomarsi yang kami peroleh di tempat ini. Kami juga diberi peluang menonton tayangan interaktif tentang planet yang terdapat di ruang angkasa.


Selepas itu, kami pergi ke Zoo Melaka yang terletak tidak jauh dari situ. Setiap orang pengunjung dikenakan bayaran RM8 untuk kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa. Di sini, kami dapat melihat dan belajar tentang binatang-binatang terutama binatang yang hampir pupus seperti beruang kola, harimau benggala, seladang dan banyak lagi. Flora dan fauna di sini menyegarkan pemandangan. Kami juga diberi pelung menaiki train dan dibawa ke seluruh kawasan zoo ini. Sekali lagi kami insaf tatkala melihat keagungan dan kekayaan ciptaan Tuhan.


Selepas solat zuhur di Masjid al-Azim di Bukit Baru, kami dibawa ke Taman Rempah Ratus untuk menaiki bot Melaka Cruise. Kami begitu teruja kerana tidak pernah menaiki bot. Kami dibawa menyusuri sungai Melaka. Kami dapat melihat pembangunan negeri bersejarah ini. Ketika di Medan Samudera pula, kami berpeluang membeli cenderamata. Saya membeli beberapa helai baju-t, pemegang kunci dan kipas untuk ibu dan adik-adik saya.


Kami bertolak pulang ke Shah Alam pada pukul 6.30 petang. Sesungguhnya, banyak pengetahuan dan pengalaman yang kami timba ketika menyertai lawatan ini. Saya berharap agar dapat menyertai lawatan seperti ini pada masa yang akan datang.





Dilaporkan oleh, 22 April 2012


Nani Azizah


(NANI AZIZAH BT AHMAD)


Setiausaha,


Kelab Lawatan Sekolah,


Sekolah Kebangsaan Seksyen 17.

Karangan Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi


Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.  


No. 74, Taman Seri Merapoh, 
27210 Merapoh, 
Kuala Lipis, 
Pahang. Darul Makmur. 

26 Januari 2011 

                             Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja. 

Sahabatku, 

                             Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat adalah dengan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Saya belajar dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari. 

                            Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika saya tidak faham akan sesuatu pelajaran semasa belajar di kelas, saya akan segera bertanya guru supaya saya dapat mengikuti pelajaran itu sebaik mungkin. 

                            Ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya. 

                             Di samping itu, saya juga pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar untuk difahami dan bertukar-tukar nota. 

                            Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih. 

                            Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga. 

                                                                                                                                                                                   Sahabatmu, 


                                                                                                                                                                           ............................. 
                                                                                                                                                       (Khairi bin Zaideen ) 

Karangan Jenis Surat Kiriman Rasmi

Surat Kiriman Rasmi

Persatuan Bahasa Melayu,
SJK(T)Ladang Emerald,
Batu 8,42450 Klang.
  ____________________________________________________________________________

Pengurus Kilang Kit Kat Coklat,
Jalan Tun Razak,
52000 Kuala Lumpur                                                     11hb September 2012

Tuan,
Memohon Kebenaran untuk Melawat ke Kilang Kit Kat Coklat  

Merujuk perkara di atas,sukacitanya dimaklumkan bahawa Persatuan Bahasa Melayu SJK(T)Ladang Emerald ingin mengadakan lawatan sambil belajar ke kilang tuan.Untuk pengetahuan tuan,lawatan ini merupakan salah satu aktiviti tahunan yang bakal dijalankan oleh Persatuan Bahasa Melayu.Berikut adalah butiran lanjut mengenai lawatan ke    kilang tuan :  

Tarikh  : 29.09.2012
Masa   : 8.00 pagi - 11.00 pagi
Bilangan peserta : 80orang termasuk 8 orang guru pengiring

2.        Rombogan ini bertujuan untuk mengetahui cara-cara memproses coklat dengan lebih terperinci.Bukan itu sahaja,lawatan ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli persatuan dan barisan guru penasihat.Selain itu,peserta rombongan juga berupaya membeli coklat dengan potongan harga istimewa.
3.         Kami berharap agar pihak tuan dapat member kebenaran untuk melawat kilang coklat pada tarikh yang ditetapkan.kami juga besar hati sekiranya tuan dapat membalas surat ini sebelum 16.09.2012.Hal ini akan memudahkan kami untuk membuat pelbagai persiapan yang rapi bagi menjayakan lawatan tersebut.
4.         Kami juga berjanji akan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak tuan.Kami menyusun jari sepuluh dan mengucapkan jutuaan terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama pihak tuan.Semoga lawatan ini akan mendatangkan banyak manfaat kepada peserta rombongan ini.

Sekian terima kasih.

Yang benar,
Vishnu Prasath
...............................................
(Vishnu Prasath A/L S Chandran)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
SJK(T)Ladang Emerald.


Product : M.Fadhil Othman